Ain duduk bersila di atas pangkin. Tadi lepas Subuh, terus lari ke sini. Duduk kat tengah-tengah bendang ni. Hari ni dah kena balik ke tempat yang dia sendiri tak kenal. Kepala dia langsung tak ada memori pasal mana-mana tempat selain kampung ni.
Nanti kena tinggalkan ayah dengan mak…
Nanti kena tinggalkan Syaza…
Nanti kena tinggalkan kampung ni, sawah yang selalu sapa pandangan waktu pagi, kabus yang selalu halang pandangan orang nak pergi sekolah…
"Apa kabus banyak pagi-pagi ni?" Ain mengipas-ngipas kabus yang menutup pandangan di jalannya.
"Kau ni senyap la." Syaza meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Gila apa menjerit pagi-pagi pukul 6:30 pagi. Ni pun keluar awal sebab nak pergi pekan. Pekan tu kalau dah terang, memang sesak la.
"Tak ada la. Bengang la aku. Aku tak nampak jalan kat depan."
Sungguh betul la apa orang cakap. Kita akan menghargai sesuatu benda bila satu hari nanti kita dah tak dapat merasainya. Tanpa sedar, air matanya mengalir laju. Dia memeluk lutut. Pandangan ditala ke hadapan. Samar-samar langit dah bertukar menjadi warna oren. Matahari nak naik!
Badan Ain tegak. Subhanallah! Cantiknya. Terasa masalah yang berselirat di dalam otak mula beransur hilang apabila melihat ciptaan Allah yang satu ini.
***
"Mana boleh, Tengku!"
"Saya cakap boleh." Ain menjawab keras. Syaza di sebelah dah memeluk erat lengan Ain.
"Mana boleh orang biasa masuk kawasan Tengku Addin." Mike melawan lagi.
Ain mengetap bibir. Banyak la kau tak boleh. "Siapa yang bos kat sini?" Time macam ni la aku nak guna kuasa veto. Dah la balik ni pun, jiwa aku yang terpaksa.
"Tengku."
"So, bos yang ikut cakap anak buah atau anak buah yang ikut cakap bos?" Ain bertanya selamba. Ambik kau!
Berubah muka Mike. Budak ni la… Belum jumpa atuknya dah buat hal. Dah la semalam pun susah nak pujuk dia sampai aku guna cara keras baru tahu nak ikut. "Nanti Tengku Addin marah saya."
"Cakap dengan Tengku Addin, kalau dia cakap tak boleh… Saya tak nak balik!" Ain memberi arahan. Aku nak bawa Syaza juga! Penat-penat aku memujuk rayu Mak Cik Azimah tadi sampai dah approve, boleh pula dia nak bantah cakap aku.
Akhirnya, Mike mengalah. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya menghubungi pembantu Tengku Addin. "Kejap, saya telefon."
"Ain, betul ke apa kau buat ni?" Syaza bertanya bimbang selepas matanya mengekori langkah Mike yang berada jauh sedikit dari mereka. Ala, kalau tengok muka pun dah tahu tahap kecuakan budak ni tinggi melambung.
Ain merenung BMW 335i yang terparkir di hadapan rumahnya. "Betul la apa aku nak buat ni. Karang yang bawa aku ni perogol, lagi susah. Eh, kau bawa payung tak?"
Syaza mengangguk. Budak Ain ni kepala macam tak betul. Ada disuruhnya aku bawa payung sebab takut pak cik driver ni ambil kesempatan kat dia. Untuk keselamatan, katanya. Macam-macam.
"Bagus." Ain tersenyum.
"Tengku, Tengku Addin bagi Tengku bawa kawan tapi ada syarat." Mike tiba-tiba muncul di hadapan mereka.
Syarat la pula… "Apa syaratnya?" Ain mengangkat kening bertanya.
"Kawan Tengku ni kena bermalam kat tempat lain. Maksudnya, saya bawa Tengku sampai ke rumah Tengku Addin tapi kawan Tengku ni akan dibawa menggunakan kenderaan lain ke destinasi yang dah ditetapkan." Terang Mike panjang lebar. Sabar je la aku dengan budak ni…
"Cakap dengan Tengku Addin… Kalau kawan saya tak ikut saya balik rumah dia sekali, saya tak nak balik!" Ain melawan sekali lagi.
Mike dah nampak Ain tu macam punching bag. Boleh tumbuk-tumbuk kuat. Tak apa, sabar sahaja. "Mana boleh, Tengku. Kan saya dah cakap tadi mana boleh orang biasa masuk kediaman Tengku Addin." Aku pun tak pernah masuk, lagi mahu dibawa budak ni masuk ke dalam.
"Saya tak kira." Ain menggeleng-geleng.
Mike dah tak boleh tahan sabar. "Tengku, sama ada Tengku ikut cara yang Tengku Addin dah tetapkan ataupun saya akan seret Tengku sorang sahaja pulang ke Kuala Lumpur!" Tegas sekali suara Mike.
Ain menelan liur. Mak oi! Garangnya. "Saya setuju." Cepat-cepat dia memberi kata putus. Ei, tak nak aku kena seret sorang-sorang pergi sana.
Ain berjalan ke arah rumah. Terdengar deruman enjin kenderaan yang akan membawanya ke Kuala Lumpur. Wei, ni kawasan kampung la! Hati-hati dia memanjat tangga.
"Mak…" Panggil Ain sayu. Kena tinggalkan mak… Aku nak nangis!
Andak Rabiatul mendekati Ain. Tok Imam Othman pula duduk di sofa memandang ke arah lain. Wajah itu dah beranak air mata.
"Mak… Ain minta maaf atas kesalahan Ain selama Ain jadi anak mak." Dia mengucup tangan Andak Rabiatul penuh kasih. "Halalkan makan minum Ain selama 18 tahun ni." Kedua-dua pipi Andak Rabiatul pula dikucup. Basah pipi Andak Rabiatul dengan air mata Ain.
"Ni pipi mak kena hingus Ain ke tak ni?" Andak Rabiatul cuba bergurau.
"Mak…!" Ain memuncung. Boleh pula buat lawak waktu sedih-sedih macam ni.
"Mak gurau je." Ditarik Ain ke dalam pelukannya. Kepala Ain yang berbalut tudung digosok lembut. "Ingat pesan mak, kalau jumpa atuk tu. Salam dia. Kalau jumpa bonda dengan ayahanda, buat benda sama. Kat nenda sekali." Andak Rabiatul dah keluar ayat istana.
Ain ketawa dalam tangis. "Ye la, mak." Dia mengangkat kepalanya dari bahu Andak Rabiatul. Pelukan dilonggarkan. Dia berjalan ke arah Tok Imam Othman pula. Perlahan-lahan, dia duduk antara dua sujud di atas lantai mengadap ayah angkatnya.
"Abah, Ain nak minta maaf atas salah silap Ain kat abah. Ain tahu Ain dah banyak susahkan abah selama Ain jadi anak abah. Halalkan makan minum Ain ye, abah." Ain makin nangis teresak-esak. Kalau boleh nak dipeluk Tok Imam Othman kala itu tapi batas antara lelaki dan perempuan masih diingatinya.
"Tak apa la, Ain. Abah dah anggap tu semua cabaran daripada Allah. Alhamdulillah, Allah bagi abah anak yang baik walaupun bukan anak yang sebenar." Sayu suara itu keluar.
Ain mengelap pipinya dengan lengan baju. Hati-hati dia bangun. Terasa kebas pula kaki sebab duduk macam tu lama-lama. Dia berjalan ke pintu keluar. Dia menoleh ke belakang. "Mak, Ain pergi ye."
Andak Rabiatul mengangguk perlahan. Anak aku dah nak pergi…
"Aphal lama sangat kat atas tu?" Mike bertanya setelah Ain menyarung selipar dan berjalan ke arahnya.
"Maaf." Dia mengelap lagi air mata yang tumpah.
"Kalau macam tu, kita gerak." Mike cuba mencelah di tepi Ain untuk membukakan pintu belakang.
"Ek eh, apa ni? Nak ambil kesempatan ke?" Ain bertanya dengan muka garang.
Mike terdiam. "Saya cuma nak tolong bukakan pintu je."
"Tak apa, saya boleh buka sendiri." Suara Ain kendur. Tu la, sedap-sedap tuduh orang. Sekali terkena kat diri sendiri.
"Saya bukakan. Ni tugas saya."
"Tak apa, saya buka sendiri."
"Saya buka."
"Awak pergi drive je la. Saya boleh buka sendiri. Tak susah pun." Ain terus membuka pintu kereta dan memboloskan dirinya ke dalam BMW 335i itu.
Mike mengangkat bahu. "As you wish."
***
Ain mengubah cara duduk. Dari tadi bersila lepas tu bersimpuh. Dah tu, sekarang ni peluk lutut pula. Syaza sudah tidur di sebelah. Mike di hadapan berkerut dahi. Dari tadi terasa kereta ni bergoyang semacam je.
"Tengku ada apa-apa masalah ke?" Soal Mike mengejutkan Ain yang duduk termenung.
"Saya nak tanya sikit, boleh tak?" Ain duduk bersila pula.
"Tanya la."
"Apa nama sebenar saya? Nama panjang la. Saya ni binti apa?" Ain bertanya terus.
Mike tersenyum. Nervous rupanya budak ni… "Tengku Sabrina binti Tengku Izuan Syah bin Tengku Muhammad Addin Shah."
Ooo… nama ayah Tengku Izuan Syah. "Nama mak saya pula apa ye?"
"Nur Syazana binti Nazeri." Jawab Mike tenang.
Sedapnya nama mak… "Dia cantik tak?"
"Kan saya dah cakap semalam yang rupa ibu Tengku teramatlah sama macam rupa Tengku. Tengku rasa cantik ke tak?"
Ain mencebik. Ceh, tanya aku soalan macam tu pula. Kalau aku cakap ya, macam riak sangat la pulak. Kalau aku cakap tak, macam tak bersyukur dengan pemberian Allah. "Entah la, no comment."
Mike menoleh ke belakang sekilas. "Kawan Tengku dah tidur?"
Ain memandang wajah Syaza. "Dah… Penat sangat kut. Kitorang tak biasa jalan jauh-jauh macam ni."
"Tengku tak tidur pun?" Mike ketawa. Macam mana nak tidur kalau nervous memanjang je.
"Saya tengah nervous ni." Jawab Ain selamba.
"Tengku, sebenarnya saya nak cerita sikit pasal hal kat rumah tu." Mike bernada serius.
Aih, seram pula aku dengar… "Cerita la."
"Kat rumah tu ada empat orang lelaki yang tinggal di situ selain daripada keluarga terdekat Tengku."
"Cakap orang biasa tak boleh masuk." Ain mencelah. Bibirnya dicebikkan. Mulia sangat ke title Tengku ni sampai orang biasa pun tak boleh masuk kawasan Tengku Addin ni?
"Diorang tu berketurunan Tengku juga. Saya rasa diorang tu sepupu Tengku tapi jauh la. Agak-agak dalam 4-5 pupu macam tu la."
"Tapi kenapa diorang tinggal sekali dengan Tengku Addin?" Macam tak ada rumah sendiri.
"Tu… Tengku Sabrina kena tanya Tengku Addin sendiri la." Mike menjawab sambil tersenyum.
Kena pakai tudung lagi... "Umur awak berapa, Mike?"
"36 tahun. Kenapa?"
Mak oi! Beza 18 tahun daripada aku. "Awak ni tua sangat la. Kalau saya panggil pak cik boleh tak?"
Mike tersentak. Nasib baik tak terlepas stereng. "Mana boleh, Tengku. Nanti saya kena marah dengan Tengku Addin."
"Dan awak jangan panggil saya Tengku sebab saya sendiri tak tahu sama ada gelaran itu betul pada saya atau tak." Ain menjawab pantas.