Ain berjalan perlahan-lahan ke suatu bilik. Tidak mahu sesiapa perasan. Dari semalam sebenarnya rasa nak geledah bilik tu tapi disabarkan je hatinya.
Ain berhenti di hadapan sebuah pintu yang amat besar dan berukiran dua ekor singa. Macam pernah nampak je lambang dua ekor singa ni. Lambang MU ke? Kalau peminat MU pun, tak payah la sampai nak ukir kat pintu. Dia membuka pintu bilik itu dan ditolak seluas-luasnya.
Ya Allah Ya Tuhanku! Ain menutup mulutnya apabila melihat isi bilik itu.
Di hadapannya, berderet-deret botol wain yang masih belum diminum disusun di rak. Gelas-gelas wain digantung di kaunter. Sofa berangkai Chesterfield menyapa pandangan.
Patut la semalam waktu mamat poyo tu dekat dengan aku, badan dia bau wain. Yela, bau anggur basi tu. Siapa tahan? Diorang tu sanggup minum lagi benda macam tu? Kalau aku, dah pengsan tak bangun-bangun.
Ain menapak perlahan-lahan ke bilik itu. Wah, besarnya TV! Dia menoleh ke kirinya pula. Eh, ada tempat main golf. Tapi yang mini punya la.
Kemudian, kakinya melangkah ke rak wain. Berderet-deret. Siap ada label tahun lagi. Dulu pernah tengok dalam TV, lagi lama wain tu disimpan, lagi berharga wain tu. Ye la tu… Berharga dengan bau anggur basi tu. Tak pun, pisang dan epal. Diorang tu tak tahu ke proses wain tu macam mana? Orang yang kerja kat kilang wain tu hancurkan buah pakai kaki je. Entah basuh ke tidak kaki tu. Sumpah kalau orang offer RM10 juta pun aku takkan minum. Ei, sekali bau anggur basi dengan kaki orang. Huih!
Ain bercekak pinggang melihat sekeliling. Tak boleh jadi ni! Makin sesat orang kat dalam rumah ni. Sejenak otaknya mula menjalankan tugas. Semalam dah pusing satu rumah tapi ada rasa macam kurang. Garden yang besar tu aku dah tengok, bilik tidur pun dah, bilik air, bilik kerja, bilik…
Ahah! Ain memetik jari. Bilik solat!
Apa kata kalau hancurkan bilik ni tukar jadi bilik solat? Kira fit la. Dah la besar, tempat pun macam strategik je. Tak ke depan ruang rumah dan tak ke belakang sangat. Kira ni macam bilik di tengah-tengah rumah.
Tapi ada satu masalah je. Kalau bilik wain ni ada kat dalam rumah, kira atuk pun sama spesies macam budak empat ekor tu. Macam mana aku nak bincang dengan atuk eh?
***
Ain merenung kertas yang berada di genggamannya. Hampir terjojol keluar biji mata bila membaca setiap perkataan di kertas itu.
Tutorial? Mak oi! Gila ke apa?
Dance? Ni nak suruh aku menari tarian apa? Zapin? Eh, tak la… Sekali lagi matanya membaca. Waltz dengan tango. Apa ke gila orang yang buat jadual ni?
Uiks, takkan hal permata dengan berlian pun nak kena belajar? Sah orang ni punya wayar tak cukup. Benda macam ni pun termasuk dalam hidup ke?
Katakan tidak pada tutorial ni! Aku kena belajar cara berjalan pakai kasut tumit tinggi. Wa~ Aku lagi sanggup kaki ayam daripada pakai benda cenggitu.
Minum teh? Putus fius ke atau wayar kat litar tak cukup? Takkan la minum teh pun masuk jadual juga.
Piano? Aa… tangan aku keras la dengan menatang tu.
Ain mengeronyokkan kertas yang dipegang. Tak boleh jadi ni! Nak jumpa atuk! Benda ni kena selesai hari ni juga. Silap-silap aku yang mati berdiri kat sini.
***
“Atuk!!!”
Terpelanting pen di tangan Tengku Addin. Dia mengusap dadanya perlahan. Nasib baik jantung aku normal lagi. Kalau tak, memang dah jalan… Tangan mengemas dokumen-dokumen yang berterabur di atas meja dan ditolak ke tepi.
“Atuk!” Ain menyerbu masuk ke dalam bilik. “Apa benda ni?” Dia menunjukkan kertas yang dah berkedut-kedut.
Tengku Addin mengerut dahi. “Jadual tutorial la. Tak boleh baca ke?” Dia mengambil kertas di tangan Ain.
“Benda ni untuk apa?” Ain bertanya. Nafasnya terasa laju keluar-masuk.
Tengku Addin meletakkan kertas berwarna putih itu di atas meja. “Benda common yang memang patut semua royal blood buat.” Tengku Addin menjawab selamba.
Royal blood? Ooo…kira semua royal blood kena buat benda-benda rosak ni la? “Ain tak nak!”
Mencerun mata Tengku Addin. “Your name is Tengku Sabrina. Not Nurul Aini.”
Whatever! “Batalkan jadual ni semua!” Ain membentak.
“Beri atuk sebab kenapa atuk kena batalkan jadual ni?” Tengku Addin bertanya tenang.
Ngee…! Susah betul nak cakap dengan orang jahiliyyah ni. Astaghfirullah! Kalau mak tahu aku cakap atuk ni jahiliyyah, mahu kena tempeleng free ni. “Sebab benda ni tak logik. Look at it! Menari tu nak buat apa? Waltz dengan tango tu kena menari dengan laki kan? Takkan nak kena pegang orang yang bukan muhrim! Then berlian-permata tu, kalau belajar pun bukannya boleh bawa masuk kubur pun. Minum teh pula, kalau haus boleh ambil sendiri. Piano? Lebih baik mengaji.” Ain menjawab panjang.
Tengku Addin melepaskan nafas perlahan. Susah betul cakap dengan orang yang baru keluar dari kampung ni. Semua benda yang dia cakap kuno betul. “Dah tu, Sabrina nak atuk buat apa?”
Ain tersenyum penuh makna.