“Fuh, sedap!!!” Hazwani menyuapkan sotong ke dalam mulutnya. Sotong dan kangkung yang diuli bersama sosnya, kacang tanah yang ditumbuk hancur, dan bijan dipandang sekali lagi. Kat Taiping ni orang panggil Sotong Kangkung. Tangan yang memegang garpu mahu mencucuk sotong dan kangkung itu sekali lagi.
“Hait, abang pulak!” Haziq menarik pinggan sotong kangkung dari hadapan Hazwani. Tangannya pula mencucuk sotong kangkung itu menggunakan garpu dan disuapkan ke dalam mulut. Sekali lagi… Satu lagi… Tambah lagi…
“Oi, orang nak la!” Hazwani menarik kembali pinggan sotong kangkung tapi sempat ditahan Haziq.
“Eh, orang pun nak jugak.”
“Abang dah makan banyak, bagi Wani la.”
“Abang yang order tadi.”
“Wani yang mintak.”
“Haziq, Hazwani!” Mencerun mata Puan Rosnah dan Encik Aziz memandang kedua-duanya.
“Dua-dua dah besar, perangai macam budak 2 tahun.” Encik Aziz buat muka garang. Puan Rosnah buat tak tahu. Nasib la korang dua. Kena marah.
“Ala, abi… Abang yang rebut sotong kangkung ni dari Wani dulu.” Hazwani mempertahankan dirinya. Muka masam Haziq dipandang dengan sengihan.
“Eh, dia yang tarik.”
“Mana ada.”
“Dia yang tarik.” Haziq mencebik.
“Hazwani, Haziq… Sudah la. Tak larat umi dengan abi nak dengar korang dua gaduh ni.” Puan Rosnah menegur.
“Dia yang mula dulu!!” Serentak tangan mereka berdua menuding antara satu sama lain.
“Haziq… Hazwani…” Suara Encik Aziz bergetar amaran.
Haziq dan Hazwani menurunkan tangan mereka. Dah dapat sense suara tu. Isyarat lampu merah dah menyala. Baik berhenti gaduh.
***
Hazwani berdiri tegak di hadapan bilik Ngah Ibrahim. Kemudian dia masuk dan bergerak ke tingkap bilik Ngah Ibrahim melihat ke luar. Fuyoo!!
Besar kawasan Kota Ngah Ibrahim ni. Kat setiap penjuru kawasan ni ada batu-bata yang disusun tinggi macam tempat berlindung tapi dah hancur sebab kena bom dengan Jepun dulu. Kubur Ngah Ibrahim pun ada kat belakang kota ni je. Baru berapa tahun dipindahkan dari Singapura. Yela, kalau dah namanya orang Tanah Melayu buat apa nak dikuburkan kat tempat orang asing? Tapi kalau dikuburkan kat Tanah Haram, aku pun nak jugak.
“Hah, termenung ingat balak!” Haziq menyergah dari belakang. Terangkat bahu Hazwani kerana terkejut.
Balak kepala hotak abang aku ni! “Orang termenung ingat kayu balak.” Dia menjelirkan lidah.
“Bagus sangat la tu jelir-jelir lidah tu. Karang laki tak nak, padan muka.” Haziq mengusik berserta ketawa.
Haish! Abang aku ni! “Ada pulak doa macam tu.”
“Adikku kahwin dengan orang tua.” Haziq menyanyi kecil.
“Abang!”