Pagi yang sunyi. Matahari pun belum keluar lagi tapi burung-burung dah berdecit di luar rumah. Bagus la tu. Burung yang kecil-kecil tu pun tahu hari dah Subuh. Tidak seperti orang lain yang hanya menunggu masa menjejak pukul 6:30, baru tercegat di hadapan bilik air untuk berwudhu’.
“Ain.” Andak Rabiatul mengetuk pintu bilik Nurul Aini tiga kali tapi tetap tidak dibuka. Budak ni tidur mati ke? Hati Andak Rabiah tertanya-tanya.
“Ain… Hari ni keputusan SPM keluar.” Andak Rabiatul mengetuk pintu bilik Ain sekali lagi.
“SPM aku straight A’s…!” Kedengaran suara Ain berteriak di dalam bilik. Terkejut Andak Rabiatul dibuatnya. Diketuk-ketuk pintu bilik tidur Ain sekali lagi.
“Ain, bukak pintu ni.” Ada nada tegas di hujung ayat itu.
Pak! Terbuka pintu bilik yang diketuk tadi. Berdiri tegak Ain dengan wajah mamainya dan tudung yang tersarung di kepalanya.
“Cepat pergi solat. Dah pukul enam suku ni.” Andak Rabiatul merenung Ain.
Ain menguap. “Abah dengan mak dah solat?” Tangan yang menutup mulut tadi beralih ke mata.
“Dah… Ain tu yang bangun lambat sangat.” Suara Andak Rabiatul mendatar.
Ain memusingkan kepala memandang ke jam loceng di dalam biliknya. “Ala… Baru pukul enam-dua-puluh.”
Mata Andak Rabiatul mencerun. “Ain, mak dah pesan banyak kali kan? Tak elok lewatkan solat. Dah… pergi mandi dulu lepas tu solat.”
Ain tersengih. Ala, mak ni.. Sentap sangat. Dia masuk semula ke dalam biliknya mencapai tuala, kain basahan dan pakaiannya. Kemudian dia keluar dari bilik dan menapak ke luar rumah mencari bilik air.
Fuh, sejuknya! Sampai ke tulang sum-sum. Hari pun gelap lagi. Nasib la, redah je. Tak payah nak takut apa-apa. Abah selalu cakap buat apa nak takut dengan hantu padahal kita ada Allah yang patut kita takut denganNya? Lagipun, subuh-subuh macam ni mana la ada hantu. Kalau ada tu, sah budak-budak tak center dari kampung sebelah.
Ain berdiri tegak di hadapan pintu bilik air yang berdindingkan kayu dan beratapkan zink. Ala kadar je la bilik air ni. Bukannya macam orang bandar, siap ada jakuzi la, bath-up la, shower la. Ni belum tengok dalam bilik air ni. Lagi syok! Dia menolak perlahan pintu kayu itu. Berkeriut bunyinya. Tara!!! Perigi aku. Heh, banyak la perigi aku. Dia tersengih sendiri. Sah, otak tak center.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik air dan menutup pintu kayu itu dengan perlahan-lahan.
***
“Assalamualaikum. Ain…” Panggil satu suara dari luar.
“Opocot, kau terbalik.” Tersentak Ain dibuatnya. Teko yang dipegang untuk menuangkan air teh berlaga dengan cawannya. Siapa la panggil aku pagi-pagi buta ni? Baru nak minum. Menganggu ketenteraman awam betul la. Nasib baik teko ni tak jatuh.
“Ain, pergi tengok siapa datang tu.” Andak Rabiatul mengambil teko yang dipegang oleh Ain tadi. Ye la, dah orang yang datang tu panggil Ain, takkan maknya yang nak keluar pulak?
“Okey.” Ain berjalan laju-laju ke hadapan. Tudung di kepala dibetulkan. Dia membuka kekisi pintu atas dan bawah lalu ditolak kuat.
“Assala…” Suara Syaza naik satu oktaf. “…mualaikum…” Suaranya kendur apabila kawannya sudah membuka pintu rumahnya. Dia mendongak memandang Ain di muka pintu sambil tersengih.
“Hah, nak apa?” Ain buat muka garang macam mak Bawang Putih versi cerita hitam-putih dulu. Tangannya mencekak pinggang.
“Amboi, salam aku dah la tak jawab.” Syaza terus duduk di atas tangga.
“Waalaikumsalam.” Jawab Ain. “Ada apa datang pagi-pagi buta ni? Aku dah la tengah tuang air tadi, nasib baik tak jatuh terhempas.” Ain menuruni tangga lalu melabuhkan punggung di sebelah Syaza.
“Banyak la kau pagi-pagi buta. Sekarang ni dah pukul 10, kau tahu?” Syaza mencebik. Budak ni tak ada jam ke?
“Aa… ye la. Aku tukar ayat. Ada apa kau datang pagi-pagi celik ni?” Ain bertanya selamba.
Pecah ketawa Syaza. Pelik pulak aku dengar pagi-pagi celik. “Kau dengan ayat kau, memang tak boleh bla.” Syaza bersuara tersekat-sekat kerana disulami dengan tawanya.
“Ek eh, tadi dia yang bising aku salah ayat. Ni aku tanya ni, kenapa kau datang pagi-pagi ni? Ada hal penting ke?” Ain bertanya dengan muka serius.
Syaza berhenti ketawa. Dia merenung muka Ain dengan penuh tanda tanya. “Kau tak tahu ke?”
“Tahu apa?”
“Hari ni kan ambil keputusan SPM.”
“Allah!” Ain menepuk dahinya. “Patut la aku mimpi SPM malam tadi.”
“Huh?!”